Followers

Sunday, June 13, 2010

Keladi Kemahang

Apa pulak berbungkus dalam daun keladi.

Pagi tadi pergi ke Pasar Tani Kuantan. Nampaklah ada benda berbungkus dalam daun keladi te.
Rasa-rasa sedap kalau suruh orang rumah masak tengahhari ini. Tapi hari ini banyak sangat jemputan kenduri kahwin, jadi tangguhkanlah menu ni ke minggu depan.

Dalam daun keladi te ada sulur keladi . Keladi tersebut bukan sebarang keladi. Kalau salah keladi tak tahulah apa nak jadi. Keladi yang digunakan untuk membuat masakan ini adalah keladi kemahang. Konon kononnya keladi kemahang berasal dari kampung Kemahang, Kuala Lipis. Tentu di kampong Kemahang banyak keladi seperti ini.

Sulur keladi ini boleh dimasak asam .. sedap . Tapi kalau campur dengan tempoyak pun lagi sedap dan pekat sikit.

Masakan ini bukanlah satu perkara asing bagi orang Lepih, Raub dan Bentong.

Thursday, June 10, 2010

Lempeng Nyor

Sekali imbas nampak macam roti canai. Macam roti arab pun ye jugak. Tapi kalau ada yang mengatakan macam piza payahlah sikit. Sebenarnya gambar ini adalah lempeng nyor atau juga dikenali di seseparuh tempat di Pahang sebagai lempeng batak. Tak tahulah macam mana asal usul lempeng batak itu direka.

Lempeng nyor sangat senang menyediakannya. Ia tidak memerlu bajet yang besar. Kita perlu ada tepung gandum, nyor kukur, sedikit garam dan air. Kalau dicampur air nyor lagi bagus. Semua bahan tersebut digaul mengikut sukatan dan dibancuh dengan air atau air nyor. Tak perlu uli dan panaskan saja di kuali dengan sedikit majerin atau minyak sapi. Bila dah garing bolehlah diangkat untuk hidangan.

Lempeng nyor boleh dilawan atau dicicah dengan gula, nyor kukur , sambal bilis atau kari kambing. Sedap untuk dimakan bila ke kebun atau pergi menjala ikan.

Di Kuantan ada beberapa tempat yang menyediakan menu Lempeng nyor ini. Antaranya di Restoran Selera Padang, Jelita Cafe dan Restoran Selera Kampung dekat Mega mall. Rega Lempeng nyor di restoran restoran ini ialah diantara RM 1.00 hingga RM 2.00 sekeping.


Wednesday, June 2, 2010

Rahsia Tali Ukur.


Pernah tak tengok tali ukur ?.

Ya... tali ukur atau pita pengukur atau juga lebih dikenali oleh orang belah Pekan sebagai tali tit. Tali yang digunakan oleh orang rumah untuk mengukur kain langsir, mengukur kain nak buat baju raya dan kadang kala mengukur pinggang seluar untuk diubah suai kerana perut dah semakin boroi.

Tali tit ini boleh didapati dari kedai kedai kain atau pasaraya seperti Mydin dengan harga sekitar RM 0.80 hingga RM 1.50 sahaja. Tali pengukur kain yang standard panjang nya 5 kaki atau 60 inci. Biasanya tali ukur ini di lebihkan sikit sekitar 3 inci dan menjadikan keseluruhan tali tersebut 63 inci.

Mungkin secara kebetulan sahaja persamaan tali ukur dengan umur Rasullalah. Umur Nabi Mohamad SAW adalah 63 tahun. Nabi nabi Allah yang lain umurnya panjang panjang. Nabi Adam 930 tahun, Nabi Nuh 1,000 tahun dan Nabi Ibrahim 195 tahun. Rasullallah SAW pernah bersabda bemaksud : " Umur umat ku adalah antara 60 hingga 70 tahun".

Kalau digunting tali pengukur tu di umur kita sekarang... agak agak berapakah baki yang tinggal?

Tuesday, June 1, 2010

Opor Pekan

Tak lama dah nak cuti sekolah. Biasanya setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang musim cuti sekolah akan ada kenduri kahwin. Itu pun lah masa yang sesuai untuk buat kenduri kendara. Bukan tak boleh buat kenduri kahwin pada hari bekerja biasa , tapi susah sikit sesedara dari jauh nak datang ke kenduri itu. Jadi awal awal tahun atau pun tika menetapkan hari, masa bertunang dulu dah pakukan tarikh tersebut.

Telah menjadi macam satu kemestian bagi kenduri kahwin di daerah Pekan menghidangkan menu Opor Daging. Kalau tak de menu opor, maknanya tak meriahlah majlis tersebut. Mungkin juga pendapatan dari salam kokut akan merosot. Menu menu lain tu tak kiralah, sama ada kurma daging, kari, gulai kawah, ikan masin, sambal belacan, umbut kerabu, kerabu mangga , patin sangkar atau ayam goreng itu bolehlah dibuat pilihan.

Tukang masak atau towkey catering di Pekan kena pandai memasak daging opor. Kalau tak pandai kena belajar belajarlah, kalau tidak susah nak cari makan di sini. Tukang buat rempah opor juga ramai di Pekan. Kat Kg. Mengkasar ada, Kat Kg. Parit ada, Kat Alor Ara pun ada orang yang menjalankan bisness rempah opor ini. Rega sekilo rempah opor lebih kurang RM 25.00 - RM 30.00. Untuk mengulai seekor lembu memerlukan lebih kurang 4 hingga 5 kg. rempah opor. Itu tak termasuk bahan bahan lain seperti bawang, serai , halia, kulit kayu manis, buah pelaga , bunga lawang dan sebagainya.

Bagi jamuan berhidang, daging opor akan dipotong besar sikit supaya dapat sebuku untuk satu hidang empat orang. Tapi bagi jumuan secara buffet daging tersebut dipotong lebih kecik supaya seorang boleh dapat sekurang kurangnya seketul. Daging opor tak boleh makan terlalu banyak , nanti seieh perut.

Jadi pada musim cuti ini bolehlah perkena opor jika pergi kenduri kahwin di Pekan.