Dulu Koi pernah tulis tentang Apam Balik yang meshor di bandar Pekan. Boleh kata semua orang Pekan tahu "Awang Apam Balik" yang sedap itu. Namun begitu di tempat tempat lain ada juga apam balik yang sedap. Contohnya Apam Balik Pak Cik Daud di Jerantut , sedap juga ( rujuk komen AKU ANAK PAHANG & Miecyber) . Di Pekan sari Benta , Apam balik yang dibuat dengan ramuan gula kabung. ( rujuk komen Pak Hashim - Titik bukan noktah). Di Pekan sari Temerloh dah tentu ada apam balik yang di minati ramai. Begitu juga di Kuantan tentunya apam balik Wak Sopian. Sekarang Wak Sopian dah buka restoran , tak jual apam balik lagi.
Pendek kata apam balik yang sedap tentu ada peminatnya sendiri.
Hamid ( bukan nama sebenar ) gemar makan apam balik. Kegemaran terhadap apam balik tersebut bermula sejak kecik lagi hinggalah berkahwin. Bak kata orang belah Pekan " kalau ada tak pe tapi kalau takdak tak boleh" . Dalam seminggu tu sekurang kurangnya sekali mesti dapat apam balik te.
Tapi sejak beliau berkahwin dan mempunyai anak, kegemaran terhadap apam balik telah mula berkurang. Mungkin disebabkan banyak masa ditumpukan melayan isteri serta kerenah anak anaknya menyebabkan Hamid lupa akan hobi makanannya selama ini.
Hinggalah satu hari , Zaleha ( bukan nama sebenar) isteri Hamid terpaksa berkursus selama dua minggu di luar daerah. Selama tempoh tersebut Hamidlah yang bertungkus lumus menjaga tiga orang anaknya yang masih kecil itu.
Apabila sampai tempoh dua minggu , Zaleha pun balik kerumah. Oleh kerana telah lama meninggalkan rumah Zaleha membeli banyak buah tangan untuk anak anaknya. Ada kacang ada coklat , ada mainan dan macam macam lagi. Tak lupa ia juga buah tangan untuk Hamid sendiri. Zaleha juga membeli sekeping apam balik untuk Hamid.
Tiba saja di rumah, anak anak mereka yang berumur satu hingga 4 tahun itu bersorak- sorak
" Emak balik!!!, Emak balik!!!..., emak balik..!!
Apabila Hamid nampak saja apam balik yang dibeli oleh Zaleha untuknya tanpa disedari ia juga terus bersorak - sorak bersama sama anaknya...
Tapi ia menyebut... " Ye ye Apam balik!!!... ye ye Apam balik !! ... Apam balik...
Pak Abu jirannya menggeleng kepala melihat kelaku Hamid ketika itu. Apa yang disangka oleh Pak Abu tak tahulah kita..