Followers

Wednesday, October 27, 2010

Conteng Dinding

Tabiat menconteng pada dinding, terutama ditempat tempat awam seperti tandas bukanlah perkara baru. Ianya telah wujud sejak zaman batu lagi. Kalau belum ada cat manusia menggunakan arang untuk melakar lukisan dan tulisan. Menconteng merupakan satu kaedah komunikasi. Sebab itu tabiat tersebut masih kekal hingga hari ini. Kalau kita masuk tandas awam, pondok telefon dan tempat tempat menunggu bas ada saja tercatat no telefonlah, nama orang yang mula sampai kesitulah dan juga tulisan dan juga lakaran yang tidak senonoh. Semuanya ada mesej mesej tertentu yang hendak disampaikan. Tapi kebanyakan contengan yang dibuat tak lawar dan sakit mata memandang.



Kalau kita pergi ke Terminal Makmur, Kuantan, kita akan berjumpa dengan hasil contengan pelajar pelajar Shahputra serta budak budak sekolah SMK Teluk Chempedak, SMK Air Putih dan SMK Paya Besar. Mereka di beri peluang menconteng disini tetapi bukan pada dinding atau pada pada pintu tandas. Mereka ditaja oleh beberapa pihak seperti MPK, LKPP, PKBF dan lain lain untuk menconteng pada tiang tiang platform terminal ini. Lihatlah hasil contengan mereka ini. Ada masej, berwarna warni, lawar dan tak sakit mata memandang.

Orang yang suka menconteng dalam tandas awam patut diberi peluang begini juga..

Sunday, October 24, 2010

Pasar Pagi - Bentong

Setiap pagi seawal jam 6.30, pasar pagi Bentong dibuka kepada orang Bentong yang keputusan sayur , ikan dan buah-buah. Terletak sebelah dengan Pasar Besar Bentong , pasar pagi ini menjanjikan kepuasan kepada pengunjung pengunjungnya. Orang yang datang tak kira Melayu, China atau India semuanya dengan satu tujuan. Begitu juga dengan penjual yang terdiri dari berbagai kaum menjadikan ianya pasar pagi ala ala 1 Malaysia lah pulak. Menjelang tengahari pasar ini , mula lengang. Pembeli dan penjual yang tadinya ramai disini mula berkurangan. Mungkin telah balik untuk bertanak dan menyayur pulak.Sayur sayur dari bukit tinggi akan dibawa berdagang kesini oleh penjual penjual cina. Ada kobis ada kailan dan ada sawi dan sayur air, tebu hitam. Rumput napier pun ada.

Begitu juga dengan jagong, buah buah tempatan dan buahan impot juga ada dijual disini.

Ikan yang kasar kasar entah datang dari kolam mana dijual oleh nyonya cina , selain dari ikan keli dan patin kolam yang dijual oleh orang dari Kg. Lengkong.


Yang penting inilah dia yang dicari. Sayur sayur kampung yang ditanam oleh orang orang Pelangai, Lebu dan Kg Teroh. Ada labu yang lehet untuk masak lemak atau buat pengat. Ada terung telunjuk untuk masak asam. Eloknya pedas pedas sikit. Ada lada kecik untuk buat sambal garam lada. Ada asam keping atau asam gelugor , tanam sendiri. Kunyit, halia dan serai ada jugak. Jantung pisang , celor cecah sambal tempoyak. Terung pipit atau terung menggo untuk ulam atau masak tempoyak pekat pekat. Serai kayu dan ulam raja. Bunga kantan untuk buat laksa atau masak asam pedas. Keladi kemahang tak sah cerita. Daun kesum untuk gulai dengan ikan.

Saturday, October 23, 2010

Pusat Pengembangan Akualkultur - Perlok

Di Jerantut terdapat sebuah pusat pengeluaran benih ikan air tawar yang di uruskan oleh Jabatan Perikanan. Tempat ini terletak di Kampung Perlok, kira 38 km dari bandar Jerantut dan dinamakan Pusat Pengembangan Akuakultur, Perlok. Untuk kemari , kalau dari bandar Jerantut, taklah payah sangat. Kita boleh mengambil jalan menghala ke Benta dan bila sampai saja di Pekan Damak bolehlah masuk simpang kiri ke Hulu Cheka. Hulu Cheka adalah kampung arwah Pawang Nong. Terus saja kedepan jangan konar kiri kanan, kita akan berjumpa Kampung Perlok. Di sinilah terletaknya pusat tersebut.

Kita juga boleh masuk dari Kuala Krau melintas jalan keretapi ke Kg. Paya Luas. Kita akan bertemu beberapa kg. Orang Asli seperti Penderas dan terus melalui celah celah bukit untuk tiba kesini. Baru baru ini koi berkesempatan bersama sama rombongan orang kampung koi melawat aktiviti di Pusat Pengembangan Akualkultur Perlok ini.

Pah paleh weh, banyaknya ikan , kasar kasar pulak, Ada ikan kelah, ikan kerai, tengalan , keli, patin, lampam dan banyak lagi lah. Geram rasanya. Kalaulah Cik gu jang atau Echam yang kaki ikan datang tentu seronok. Sempat juga koi mendengar taklimat dan menengok demonstrasi pembenihan ikan yang dibuat oleh dema te.
Resipi pembenihan ikan tersebut adalah lebih kurang begini:-
Gambar diatas adalah induk ikan jantan dan betina yang dipelihara didalam kolah khas disini. Gambar tak berapa terang sebab melalui dalam air.
Jika hendak membuat pembenihan ikan tersebut tangkap saja ikan yg. ada dalam kolah tersebut menggunakan jaring. Tangkap yang jantan dan juga yg betina.
Kemudian keluarkan telur dari ikan betina dengan cara memicit bahagian perut. Jangan picit kuat kuat-kuat nanti mati pulak ikan itu. dan perlu dilakukan dengan cepat supaya ikan tidak mati atas darat.
Bila dah kumpulkan telur ikan betina dalam besen aluminium, ambik pulak ikan jantan dan urut urut untuk keluarkan sperma dan terus dicampur dengan telur ikan betina tadi. Kerja ini juga perlu dilakukan dengan pantas.
Kemudian gaul dan kacau supaya rata. Jangan campur bahan bahan perasa lain seperti garam, gula atau aji no moto. Gunakan bulu ayam jantan berkokok petang hari untuk mengacau telur dan sperma itu supaya sebati. Lakukan kerja ini dalam tempoh 1 minit sahaja.
Jangan terus masuk kedalam kuali dulu , tapi bahan bahan yg. dicampur tadi bolehlah dimasuk dalam takungan yang disediakan. Anak anak ikan akan menetas dalam tempoh 72 jam.
Anak anak ikan yang telah menetas akan dipelihara dan dijual kepada pengusaha pengusaha kolam ikan.
Sekian selamat mencuba.

Thursday, October 21, 2010

Kolam Air Panas Bentong

Kalau ada masa terluang, kita boleh pergi ke Kolam Air Panas Bentong. Sebenarnya tak banyak kolam air panas di tempat kita. Yang masehor nya , kolam air panas Hot Spring di Sungkai, Perak , Kolam Air Panas Pedas di Negeri Sembilan dan di Trengganu. Di Pahang yang koi tahu ada 2 kolam air panas. Satu di Bentong dan satu lagi di Sungai Jin, Sg. Lembing.

Kolam air panas Bentong terletak kira 18 km dari bandar Bentong melalui jalan lama menghala ke Kuala Lumpur atau Janda Baik. Kolam Air Panas Bentong , tiada dikenakan bayaran masuk pada orang ramai yang datang. Sebab itulah tempat ini tak ramai pengunjung cuma beberapa orang yang saja saja datang.
Di sini terdapat beberapa buah kolam yang besar. Ada yang dalam dan ada yang tohor. Kolam yang dalam untuk orang orang tua mandi dan kolam yang tohor untuk bebudak mandi dan berendam. Air dalam kolam ini tidaklah hangat sangat , kata orang suam suam kuku. Taklah macam duduk dalam sauna. Tak juga nampak kelibat ikan talapia atau ikan kelah berenang dalam kolam ini. Mungkin juga ikan takut tinggal dalam kolam ini. Takut menjadi ikan singgang.
Terdapat juga kemudahan kemudahan lain untuk orang ramai yang datang kesini, seperti gazebo, tandas dan juga bangku tempat duduk.

Kata orang kolam air panas boleh menyembuhkan sakit kulit. Kalau ada rodong yang kena sakit kulit gatal gatal , seperti panau, kurap , kayap dan sopak bolehlah mandi atau berendam disini.


Kalau datang ke sini cuba cuba perati kot kot ada orang yang menjerang air di sebelah hulu kolam.

Wednesday, October 20, 2010

Ingatan 20.10.2010

Bagi aku tarikh 20.10.2010 tidak membawa apa apa makna pun. Yang aku tahu hari ini juga seperti hari hari yang lepas. Tiada specialnya.

Sebagaimana biasa , pagi itu aku akan ke sekolah. Tetapi sebelum pergi, aku sempat bergurau dan bermain main dengan Arang, Mi dan Do. Bagi aku kehadiran Do, Re dan Mi menceriakan keluarga kami. Ditambah pula dengan kelahiran anak Do, iaitu Arang dan kembarnya Kicap yang sedang menakal itu membuatkan aku sentiasa liat untuk pergi kesekolah atau ke mengaji dimasjid.

Pagi itu juga, ayah bangun awal dari
sekala. Ayah akan ke gerai belakang, membeli sarapan pagi untuk aku bawa bekal ke sekolah. Ayah juga tidak lupa memberi makan Do, Mi dan Arang. Kadang kadang aku jeles jugak, makanan mereka lebih mahal dari duit belanja aku ke sekolah. Kembar Arang, Kicap telah dua hari tak balik rumah. Agaknya terjun longkang atau sesat. Puas juga aku dan kawan kawan seperti Nazim, Fikri dan Fathi mencarinya sekitar taman perumahan kami. Aku amat bimbang , sekarang ini banyak kejadian bunuh, colek, rompak dan rogol di sekitar bandar Kuantan. Mintak simpanglah , janganlah terjadi apa apa pada Kicap.

Begitu juga dengan Re. Sejak semalam tak nampak muka. Tapi aku tak risau sangat, Re dah besar, Dah pernah hilang sekali , tapi balik semula ke rumah.

Ketika ayah mengundurkan kereta untuk menghantar aku ke sekolah, tiba tiba terdengar bunyi jeritan kesakitan. Ayah terus memberhentikan kereta. Emak pula meluru kearah belakang kereta. Aku panik. Apa?. Mengapa?. Emak terus memangku Arang serta menggosok gosok kaki Arang. Emak berjanji akan membawa Arang ke Klinik untuk rawatan segera.

Di sekolah aku tidak dapat menumpukan perhatian kepada cik gu yang mengajar. Mengapa lambat sangat loceng berbunyi. Ketika ayah datang menjemput ku pada pukul 1.20 , aku terus bertanya ayah mengenai keadaan Arang. Ayah senyap seketika. Kali kedua aku bertanya, perlahan sahaja ayah menjawab " Tiada harapan".

Aku pandang ayah semacam saja. Rasa macam tak nak tegor ayah dua jam. Tiba dirumah ayah terus ajak aku kebelakang dimana di semadikan bangkai Arang. Ayah berjanji , petang nanti pergi ke KFC. Aku mengikut saja.

Friday, October 8, 2010

Papan tanda -jalan raya

Pengguna jalan raya sepatutnya tahu membaca tanda isyarat yang ada di sepanjang jalan raya , seperti simpang tiga, dilarang masuk , dilarang membunyikan hon dan sebagainya. Tanda tanda isyarat tersebut telah diajar semasa mengambil lesen memandu L dahulu. Pihak yang bertanggungjawab seperti JKR telah meletakkan tanda tanda isyarat tersebut di tempat tempat yang perlu bagi mengelakkan sesak atau berlaku eksiden .

( gambar 1)

Bagaimanapun ada juga papan tanda jalan raya yang di tulis dan boleh dibaca serta difahami oleh pengguna pengguna jalan raya. Kadang kadang budak sekolah Tadika pun boleh faham arahan arahan yang diberi pada papan tanda tersebut. Sebagai contoh papan tanda seperti gambar 1 diatas. "IKUT KIRI JIKA TIDAK MEMOTONG" membawa maksud supaya kita hendaklah sentiasa memandu di line sebelah kiri kecuali jika tidak hendak memintas kereta lain, bolehlah memandu disebelah kanan. Perkataan MEMOTONG pada papan tanda tersebut bukan bermaksud menoreh getah .

(gambar 2)

Gambar ke dua ini, papan tanda nya berbunyi " KALAU PERLAHAN TOLONGLAH KE KIRI". Ianya juga membawa maksud yang lebih kurang sama seperti gambar diatas. Orang orang yang membawa kereta selor atau perlahan seperti makan angin, bersantai serta mencari lembu hilang diminta memandu disebelah kiri. Cuma perkataan TOLONGLAH itu seolah olah merayu kepada orang yang memandu perlahan.


(gambar 3)

Berlainan pula dengan papan tanda pada gambar 3 ini. " TAK RASA BERSALAH KE...POTONG Q". Potong Q merupakan satu kesalahan lalulintas. Dari segi moralnya orang orang yang potong Q adalah orang yang tidak berdisplin , mementingkan diri dan tak makan saman. Jadi sesuai sangatlah papan tanda ini di letakkan ditempat tempat tertentu.


Mungkin di masa hadapan kalau masih ada berlaku kejadian seperti ini akan ada pulak satu papan tanda yang di tulis lebih kurang begini " MINTAK MINTAK EKSIDENLAH ORANG YG POTONG Q" atau @###$$@ (maki) ORANG YG. POTONG Q"

Tapi jangan lah sampai ketahap macam tu.

Tuesday, October 5, 2010

Jalan jalan - Tanjung Gemuk

Kalau hendak ke Johor Bahru atau ke Singapura melalui tepi pantai laut , selepas bandar Rompin , kita akan bertemu dengan sebuah pekan kecil yang dinamakan Tanjung Gemuk. Tak tahulah asal usulnya tempat ini dinamakan sebegitu rupa. Agak agaknya orang yang menamakan tempat ini badannya gemuk. Tanjung Gemuk duduknya dalam daerah Rompin yang bersempadan dengan daerah Mersing di Johor.

Mercu tanda Tg Gemuk.

Menyemberang saja sungai melalui jambatan kita akan memasuki wilayah Johor iaitu pekan Endau.
Tg. Gemuk pintu keluar ke Negeri Johor bersempadan dgn. Mersing

Tanjung Gemuk juga merupakan pengkalan bagi orang orang yang hendak pergi ke Pulau Tioman. Disini ada beberapa buah feri penumpang yang sentiasa berulang alik setiap hari bagi membawak orang orang ramai yang hendak ke pulau Tioman.
Terminal Penumpang ke Tioman

Difahamkan bahawa tambang ke Pulau Tioman adalah RM 35.00 bagi dewasa dan RM 30.00 bagi kanak kanak untuk satu perjalanan. Kalau tak de aral akan mengambil masa kira kira 1 jam 30 minit.
Lengang , penumpang dah berlepas.


Jeti dan Feri penumpang .Sempat tangkap gambar dari jauh saja.